Khamis, 4 Jun 2009

Hidupku...Hidupmu...Kehidupanku..Kehidupanmu (siri 1)



Kekadang terasa apa yang dibuat serba tidak kena. Pada hari, minggu atau bulan yang malang itu, kejelekan seolah-olah datang menimpa kita. Paper work kita asyik ditolak oleh bos, berselisih faham dengan teman sekerja, kereta merengek, terlambat punch card dan pelbagai lagi. Jadi, kalau demikian halnya, apa yang tidak kena? Bagaimana hendak membetulkan keadaan? Hendak bermula dari mana? Wah…pening kepala dibuatnya. Mungkin kita juga pernah mengalami situasi begini, dan tentu sahaja kita tercari-cari panduan bagaimana hendak membetulkan semula semua keadaan yang bercelaru itu?
Dalam apa jua keadaan, kita hendaklah faham bahawa apabila keadaan tidak seperti yang diingini, langkah kita bukanlah mengubah keadaan itu tetapi terlebih dahulu mengubah diri kita sendiri. Ramai orang tersilap, justeru mereka hendak mengubah keadaan luaran sebelum mengubah diri sendiri. Sunnatullahnya tidak begitu. Dalam apa jua keadaan, mengubah diri itu perlu diutamakan kerana itulah yang akan mengubah keadaan yang kita hadapi. Jadi, apabila berdepan dengan masalah kewangan, kereta yang merengek, bergaduh dengan teman sekerja, hendaklah diingat, ubahlah diri kita sebelum cuba mengubah perkara-perkara yang di luar diri kita.
Pertama, kita perlulah memahami bahawa kehidupan ini disusun dengan satu peraturan yang sangat rapi dan saling berkait rapat antara satu sama lain. Peraturan ini dinamakan Sunnatullah. Barat menamakannya “law of nature”. Hukum Sunnatullah ini juga dikenali sebagai “cause and effect (sebab dan akibat). Hukum ini bukan sahaja berlaku dalam bidang fizik, biologi, ekonomi dan lain-lain, malah ia juga berlaku dalam putaran kehidupan. Allah SWT telah mengaturkan bahawa setiap akibat yang berlaku mesti mempunyai sebab atau punca. Jika seseorang itu bersedih, tentu terdapat faktor yang menyebabkan dia bersedih. Jika dia gembira, tentu terdapat faktor yang menyebabkan kegembiraan itu. Oleh itu, jika kita dapati kehidupan kita seperti serba tidak kena, maka hendaklah kita akui bahawa mesti terdapat sesuatu sebab yang menyebabkan keadaan yang serba tidak kena itu. Sebelum mencari di mana penyebabnya, kita hendaklah terlebih dahulu mengakui akan wujudnya penyebab itu.
Tidak mungkin kita akan menemui sesuatu yang kita cari jika kita menafikan akan kewujudannya. Jadi, langkah awal mengubat sesuatu yang tidak kena ini ialah membuang sikap ego. Maksud ego di sini ialah kita mengatakan atau menganggap tiada ”penyebab-penyebab” pada keadaan yang serba tidak kena itu. Ramai di antara kita yang berasa ego, dengan berkata, “entahlah, saya tidak tahu apa yang tidak kena lagi, semuanya sudah saya lakukan, tapi gagal juga. “Dah nasib” atau ada yang berkata, “tak mungkin jadi begini, semuanya sudah ok sejak mula, tiba-tiba sahaja jadi begini?” Cakap-cakap yang seumpama ini sungguhpun biasa kita dengar namun, jika diteliti ia jelas bermaksud yang penuturnya seolah-olah tidak mahu mengakui ada kesalahan yang menyebabkan sesuatu yang negatif berlaku.Ada juga orang yang mengakui adanya penyebab-penyebab tertentu tetapi penyebab itu adalah orang lain. Bukan dirinya. Ini juga satu petanda ego. “Saya tidak salah, yang salah kawan saya, kereta saya”. Ketahuilah, sikap reaktif ini tidak akan menyelesaikan masalah. Bahkan akan menambah masalah. Apa yang perlu kita cari ialah kesalahan diri kita sendiri. Kita tidak boleh terus menyalahkan orang lain atas apa yang menimpa kita. Hidup kita adalah tanggungjawab kita, justeru apa yang berlaku dalam kehidupan adalah pilihan kita sebenarnya. Orang boleh menimpakan sesuatu ke atas kita, hanya apabila kita “mengizinkan” ia berlaku. Yang menyebabkan kita susah hati, bukan kemarahan teman-teman, tetapi apabila kita mengizinkan kemarahan teman itu menyusahkan diri kita. .....sambungan di siri ke-2

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails