Assalamualaikum wbt sahabat blogger semua. Semoga kalian semua senantiasa mendapat rahmat Allah SWT. Selawat dan salam kepada Nabi Muhammad SAW .Semoga syafaat baginda kita perolehi kelak.Sahabat semua, jika ditanya kepada mana-mana Pengurus Sumber Manusia sesebuah organisasi, apakah aset terpenting kepadanya? Jawapannya pastilah manusia iaitu pekerja kepada sesebuah organisasi itu sendiri. Jabatan Sumber Manusia memainkan peranan yang cukup besar dalam menggembleng, membangun,mengurus dan mengorganisasi aset terpenting ini agar ia bergerak seiring dengan kehendak sesebuah organisasi itu.
Jika organisasi itu kecil, mungkin tugasnya lebih mudah tetapi bagaimana jika organisasi yang sangat besar dimana cawangannya meliputi setiap negeri, setiap daerah, setiap pekan kecil mahupun setiap mukim. Siapa pula yang harus memainkan peranan ini ? Disinilah, peranan ketua unit atau ketua cawangan yang lebih kecil itu sangat besar peranannya.
Pekerja di cawangan yang lebih kecil biasanya tidak berapa mengetahui atau mahir dengan kehendak organisasi yang lebih besar yakni di peringkat ibu pejabat. Ini adalah situasi biasa kerana mereka tidak sama sekali menghadiri perjumpaan, mesyuarat, majlis ramah mesra dan sebagainya. Biasanya hanya ketua yang menghadiri majlis-majlis seperti ini. Pekerja biasa ini mungkin mahir dengan tugas hakikinya lantaran pengalaman yang mereka miliki tetapi sebarang perubahan pada peringkat atasan majoritinya memang mereka kurang tahu lantaran faktor-faktor tadi.
Justeru, bagaimana seseorang ketua itu hendak merangsang atau memastikan pekerja ini bergerak seiring dengan kehendak organisasi ? Antaranya termasuklah :-
- Selalu berbincang dengan mereka. Walaupun di kala ini terdapat banyak media sosial lain seperti FB, Twitter dan sebagainya, sebenarnya perbincangan secara bersemukalah yang paling meninggalkan kesan. Ini kerana disitu, kita boleh berbincang dari hati ke hati tanpa ada halangan bagi menghalang sesuatu komunikasi itu berlaku.
- Selalu mendengar pandangan dan pendapat mereka. Sebenarnya mendengar pandangan dan pendapat adalah motivasi terbesar yang boleh diberi kepada mereka. Oleh kerana majoriti dari mereka ini adalah pekerja yang bekerja di lapangan, kadang-kadang mereka lebih tahu apa yang dikehendaki pelanggan. Mereka berhadapan secara langsung dengan pelanggan dan jangan lupa jika mereka kena caci dengan pelanggan pun, mereka dahulu yang menerima cacian itu berbanding orang atasan.
- Terimalah cadangan yang mereka utarakan. Ada sesetengah dari mereka ini pandangannya mengenai sesuatu perkara itu lebih luas lantaran faktor-faktor tertentu seperti selalu bergaul dengan pelanggan dan sebagainya. Janganlah ketua kepada sesebuah unit itu menolak mentah-mentah cadangan mereka hanya kerana mereka ini adalah golongan bawahan.
- Ingatlah bahawa, jika semua pandangan, cadangan dan pendapat orang bawahan selalu ditolak lama kelamaan mereka 'malas' atau enggan memberi pandangan lagi kerana tahu bahawa ia tidak akan kemana-kemana kerana ia akan dibakulsampahkan dan tidak akan ada apa-apa perubahan yang berlaku. Ini sekaligus melemahkan sesebuah organisasi itu lantas sukar baginya untuk menerima perubahan.
p/s: sekadar layangan minda dari seseorang yang tidak tahu apa-apa dan tidak membawa maksud apa-apa..












